Peristiwa Israk dan Mikraj benar-benar menguji keyakinan umat Islam akan kebenaran ajaran Islam. Mereka yang mempunyai iman yang kukuh pasti akan...
Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al-Isra’ ayat 1:
Yang bermaksud : "Maha Suci Allah Subhanahu wa Taala yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan satu bukti tentang kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Taala dalam memperjalankan diri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam diangkat ke langit untuk menerima perintah solat lima waktu daripada Allah Subhanahu wa Taala.
Menurut Imam Fakhrurrazi di dalam kitabnya (Tafsir al-Kabir) menyatakan apa yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam potongan ayat yang pertama dari surah al-Isra’ " لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاِتنَا " maknanya" untuk kami memperlihatkan dari tanda-tanda (kebesaran dan kekuasaan) kami " memberi pengertian, bahawa Allah Subhanahu wa Taala mahu memperlihatkan apa yang telah disediakan sebagai balasan kepada hamba-hambanya di akhirat, tentang keindahan syurga dan kecelakaan neraka. Baginda diperjalankan oleh Allah Subhanahu wa Taala bagi menyaksikan tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Subhanahu wa Taala, maka dengan ini telah menambahkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa Baginda, sehingga Baginda dapat terus berusaha dengan lebih sempurna dalam menyampaikan risalah tauhid.
Peristiwa Israk dan Mikraj benar-benar menguji keyakinan umat Islam akan kebenaran ajaran Islam. Mereka yang mempunyai iman yang kukuh pasti akan mengakui dan membenarkan peristiwa luar daripada kebiasaan pemikiran akal ini.
Pengajaran yang paling penting dalam peristiwa Israk dan Mikraj ialah tentang kewajipan menunaikan solat. Solat telah difardukan secara terus daripada Allah Subhanahu wa Taala kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tanpa perantaraan malaikat Jibril Alaihi Salam. Ibadah-ibadah yang lain difardukan oleh Allah Subhanahu wa Taala melalui wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibril Alaihi Salam.
Kita umat Islam wajib mengerjakan solat fardu lima waktu sehari semalam serta menjaga waktunya. Tetapi apa yang berlaku, terdapat sebilangan orang yang masih lalai untuk melaksanakan ataupun melambatkan solatnya sehingga luput waktunya dengan alasan sibuk dengan urusan kerja, keluarga dan sebagainya. Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman akan menjaga solatnya dengan sempurna, baik dari pelaksanaannya mahupun waktunya. Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al-Ma’un ayat 4 hingga 5:
Yang bermaksud : "(Kalau orang yang demikian dikira sebagai orang yang mendustakan agama) maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. Iaitu orang yang lalai dari menyempurnakan solatnya.”
Ibadah solat menjadi tunjang kepada amal ibadah yang lain. Sebagaimana Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Tarmizi:
Yang bermaksud : "Bahawasanya pertama sekali yang dihisab pada seseorang hamba di hari kiamat ialah solatnya “
Antara hikmah Allah Subhanahu Wata’ala memperlihatkan berbagai-bagai kejadian aneh dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu, adalah untuk menjadi peringatan dan pengajaran kepada manusia supaya membuat perubahan positif terhadap diri mereka. Sebagai contoh, jika dahulunya mengabaikan dan malas untuk solat maka setelah menghayati peristiwa ini dan mengambil iktibar daripadanya, ia akan berubah menjadi rajin menunaikan solat khususnya secara berjemaah. Jika dahulunya makan riba, maka sekarang telah berubah dan tidak akan melakukannya lagi, begitulah seterusnya akan mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dan meninggalkan larangan-Nya, bukan terus-menerus bergelumang dengan dosa dan maksiat serta langsung tidak mahu mendengar teguran dan nasihat, ibarat kata perumpamaan 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'. Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah an-Nahl ayat 97 :
Yang bermaksud : "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, sama ada lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, Maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. "
Sumber dari khutbah Jumaat terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang (17/02/2023)
COMMENTS