Hari ini umat Islam terpengaruh dengan budaya cinta yang bercanggah dengan Islam seperti menyambut Hari Kekasih (Valentine Day). Berdasarkan Keputusan
Perasaan cinta dan sayang antara lelaki dan perempuan adalah fitrah kejadian manusia. Allah Subhanahu wa Ta'ala menciptakan lelaki dan perempuan adalah untuk hidup berpasangan yang berasaskan cinta. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Rum ayat 21,
Yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, Dia menciptakan untukmu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis mu sendiri, agar kamu senang hati dan hidup mesra dengannya, dan Dia menjadikan antara kamu (suami isteri) rasa kasih dan sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya perkara ini benarbenar mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”
Perasaan cinta sesama manusia mempunyai nilai yang besar dalam Islam. Dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Yang bermaksud: “Pasti mendapat kecintaan-Ku bagi dua orang cintamencintai kerana-Ku, dua orang yang duduk bersama-sama kerana-Ku, dua orang kunjung mengunjungi kerana-Ku, dan dua orang yang tolong menolong kerana-Ku”.
Oleh itu perasaan cinta sesama suami isteri, anak kepada ibu bapanya, ibu bapa kepada anaknya, saudara mara, jiran tetangga dan rakan taulan semuanya memberi pahala yang besar. Marilah kita bersama-sama meletakkan keutamaan cinta kita kepada ibu bapa, suami isteri dan anak-anak. Ingatlah, Allah Subhanahu wa Ta'ala mencintai kita apabila kita mencintai sesama manusia.
Bahkan, apa sahaja tindakan yang dilakukan untuk memupuk perasaan cinta dan sayang adalah digalakkan seperti memberi hadiah kepada orang yang kita cintai. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari
Yang bermaksud : “Hendaknya kamu saling memberi hadiah, pasti kamu akan saling mencintai”.
Begitulah indahnya cinta dalam Islam yang membawa kita kepada mencari reda Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Hari ini umat Islam terpengaruh dengan budaya cinta yang bercanggah dengan Islam seperti menyambut Hari Kekasih (Valentine Day). Berdasarkan Keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang pada tahun 2012 memutuskan bahawa “Sambutan Hari Kekasih adalah haram dan dilarang kerana mempunyai kaitan dengan agama lain”. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Marilah kita bersama-sama mengingatkan anak-anak remaja kita agar menjauhi sambutan Hari Kekasih. Sambutan ini adalah budaya buruk yang diambil daripada masyarakat bukan Islam. Tidak dapat dinafikan lagi apabila sambutan Hari Kekasih diadakan kebiasaannya akan berlakulah penzinaan. Itulah amalan buruk yang dilakukan masyarakat barat di luar negara.
Kita dapati kes-kes tangkapan khalwat atau mukadimah zina berleluasa pada malam sambutan Hari Kekasih di negara kita. Oleh itu tepat sekali apabila kita dilarang untuk menyambut Sambutan Hari Kekasih. Ingatlah Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis riwayat Abu Daud:
Maksudnya: “Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk sebahagian daripada mereka.”
Islam sama sekali tidak melarang untuk menzahirkan perasaan cinta namun tidak ada jalan yang terbaik untuk ia dilaksanakan kecuali melalui perkahwinan. Cinta dan kasih sayang yang dicurahkan melalui perkahwinan adalah cinta yang bertanggungjawab dan diredai Allah Subhanahu wa Ta'ala. Bagi yang sudah berjumpa pasangan yang sesuai, segeralah untuk berkahwin. Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis riwayat Ibnu Majah,
Yang bermaksud: “Tidak pernah dilihat penyelesaian yang terbaik untuk dua orang yang saling mencintai selain berkahwin.”
Semoga kita dapat menginsafi maksud cinta yang sebenar dan mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat. Marilah kita bersama-sama menasihati terutama ibubapa agar mengawal anak-anak mereka daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan seperti berjalan berdua-duaan lebih-lebih lagi membiarkan anak-anak gadisnya membonceng motosikal atau menumpang kereta bersama lelaki bukan mahram. Begitu juga jauhilah diri daripada bersembang yang membawa kepada rangsangan nafsu di media sosial atau perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemaksiatan dan penzinaan.
Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al-Isra’ ayat 32 :
Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
COMMENTS