Program ini bertujuan menyemak dan memperkemaskan permohonan yang dikemukakan oleh pihak sekolah bagi mendapatkan peruntukan penyelenggaraan...
MARAN, 31.03.2026 – Satu program semakan borang permohonan bantuan pembaikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Negeri Pahang bagi tahun 2026 telah diadakan dengan jayanya di Dewan Pejabat Agama Islam Maran baru-baru ini.
Program ini bertujuan menyemak dan memperkemaskan permohonan yang dikemukakan oleh pihak sekolah bagi mendapatkan peruntukan penyelenggaraan daripada kerajaan Persekutuan. Bantuan ini disalurkan khusus untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan sekolah, termasuk pembaikan struktur yang rosak serta penambahbaikan kemudahan sedia ada demi keselesaan warga sekolah.
Sepanjang program berlangsung, pihak sekolah diberi panduan dan semakan terperinci bagi memastikan setiap permohonan memenuhi syarat serta kriteria yang telah ditetapkan. Inisiatif ini diharap dapat mempercepatkan proses kelulusan serta memastikan bantuan yang disalurkan sampai kepada sekolah yang benar-benar memerlukan.
Selain itu, program ini juga menjadi medan pertemuan yang bermakna apabila para guru KAFA berpeluang berjumpa dan bertukar pandangan dengan sahabat-sahabat seperjuangan dari daerah lain. Suasana mesra dan penuh ukhuwwah jelas terpancar, sekaligus mengeratkan hubungan antara warga pendidik agama di seluruh negeri Pahang.
Diharapkan agar usaha ini dapat memberi manfaat besar kepada pembangunan Sekolah Agama Rakyat serta meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran bagi para pelajar pada masa akan datang.











COMMENTS