Profesyen perguruan adalah kerjaya yang mulia yang menjadi pemangkin kegemilangan ilmu dan kemajuan ummah serta pembentukan insan yang seimbang rohani
Tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” merujuk kepada peranan strategik guru sebagai penggerak utama dalam proses transformasi sistem pendidikan.
Konsep ini menekankan bahawa guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi agen perubahan yang membentuk dasar, pedagogi, dan budaya pembelajaran ke arah lebih progresif.
Fokus utama tema ini meliputi:
- Pemerkasaan profesionalisme guru melalui inovasi pengajaran yang selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21
- Pembangunan modal insan holistik dengan memanfaatkan pendekatan pendidikan yang relevan dengan perkembangan semasa
- Pengukuhan kolaborasi antara komuniti pendidik untuk menyokong aspirasi reformasi pendidikan kebangsaan
Setiap tahun pada tarikh 16 Mei, seluruh warga guru diraikan dalam majlis sambutan hari guru sebagai satu pengiktirafan yang tinggi oleh masyarakat kepada guru yang telah banyak berjasa terhadap pembangunan insan dan negara. Sewajarnya kita meletakkan taraf guru sebagai insan mulia sesuai dengan sumbangan yang dicurahkan mereka dalam mendidik kita semua.
Profesyen perguruan adalah kerjaya yang mulia yang menjadi pemangkin kegemilangan ilmu dan kemajuan ummah serta pembentukan insan yang seimbang rohani dan jasmani. Guru bukan sekadar menjadi mudarris (pengajar), tetapi hendaklah berperanan sebagai muallim (penyampai ilmu yang benar), sebagai murabbi (pengasuh dan mendidik dengan kasih sayang), sebagai muaddib (pembentuk adab dan akhlak pelajar), sebagai muzakki (penyuci akhlak dan akidah), sebagai muthabbit (pembina keyakinan dan kekuatan dalaman pelajar), sebagai qudwatun hasanah (memberi contoh yang baik terhadap anak didik) dan sebagai mursyid (pembimbing ke arah kebenaran).
Tugas seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah dan bukan boleh dilakukan oleh semua orang. Kerjaya sebagai seorang guru dianggap sebagai satu tugas yang sangat mulia dan istimewa. Lebih-lebih lagi dalam era yang penuh mencabar ini, menuntut pengorbanan dan komitmenyang padu dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang cemerlang dan berakhlak mulia. Kemuliaan tugas guru ini diiktiraf oleh Allah subahanahu wataala, sebagaimana Firman-Nya dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
Yang bermaksud; Allah meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) beberapa darjat.”
Kita seharusnya bersyukur di atas pengorbanan dan jasa guru yang telah mendidik serta membimbing kita menjadi manusia yang baik pada hari ini, sama ada guru yang terlibat secara langsung mendidik kita di sekolah mahupun diperingkat universiti dan tidak kurang penting juga kepada guru yang mengajar kita mengenal membaca ayat-ayat Al-Quran, fardu ain dan sebagainya. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar daripada mereka kita tidak mempunyai asas yang kuat untuk mengamalkan kefarduan asas dalam Islam.
Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sewajarnya mereka dihormati dan dikenang jasanya sepanjang hayat. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Taala agar guru-guru yang telah mendidik kita mendapat rahmat dan keberkatan sepanjang masa. Manakala bagi guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah sama-samalah kita mendoakan semoga Allah Subhanahu wa Taala memberi ganjaran atas segala pengorbanan dan jasa mereka serta diampunkan dosa-dosa mereka.
Murid-murid hendaklah sentiasa menghormati para guru dan tahu membalas budi guru dengan menjaga adab-adab yang diajar oleh Islam antaranya, memberi salam apabila bertemu dengan guru, menjaga maruahguru dan jangan sekali-kali cuba mencari kesilapan dan keaiban guru, bersikap sopan apabila bercakap dengan guru dan tidak membantah atau melawan arahan guru serta jangan menyakiti hati guru bagi mendapatkan keberkatan ilmu yang dipelajari.
Para ibu bapa wajib menyuruh anak-anak mereka supaya sentiasa menghormati dan mentaati arahan guru. Suatu perkara yang sangat menyedihkan zaman sekarang apabila ada ibu bapa yang sanggup menyerang dan menyaman guru apabila anak mereka dikenakan tindakan tegas oleh guru kerana kesalahan disiplin di sekolah. Suasana ini boleh menyebabkan kesan negatif terhadap hubungan guru dengan ibu bapa dan anak murid tersebut. Di samping itu tindakan ibu bapa ini boleh menghilangkan rasa hormat murid terhadap guru. Sabda Rasululllah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Yang bermaksud; “Setiap anak Adam dilahirkan dalam keadaan fitrah,maka kedua ibu bapalah yang mencorakkan keadaan anak itu, sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Oleh itu pihak ibu bapa seharusnya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru dalam membentuk dan mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Tiada guru yang sanggup merosakkan masa depan anak muridnya.
Sebagai anggota masyarakat kita seharusnya rasa terpanggil untuk bersama dengan warga guru bagi menjayakan harapan negara ke arah melahirkan generasi modal insan kelas pertama yang berjiwa "Ulul Albab". Tugas mendidik dan menangani gejala sosial sewajarnya dilakukan secara bersama antara ibu bapa, masyarakat dan guru seperti kata pepatah "Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing".
Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Surah al-Tahrim ayat 6;
Yang bermaksud; “Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Selamat hari guru daripada kami Persatuan Guru-Guru SAR KAFA Daerah Kuantan.
COMMENTS