Bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh dengan keampunan dan rahmat ini, kita hendaklah sentiasa memperbanyakkan amal ibadah dengan mendirikan....
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita diberkati Allah Subhanahu wa-Ta’ala di dunia dan akhirat.
Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al-Baqarah ayat 183 :
Yang bermaksud: “Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu...”
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Taala kerana diberi kesempatan kepada kita untuk berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Dalam bulan ini segala amal ibadah yang kita lakukan digandakan ganjaran pahala yang diberikan. Kita sebagai umat Islam sepatutnya merasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadan kali ini. Sabda Rasululllah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Nasa’ie:
Yang bermaksud: “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan yang merupakan suatu bulan yang diberkati. Allah telah memfardhukan ke atas kamu untuk berpuasa di dalamnya. Pada bulan ini dibuka pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka, serta dirantai syaitan-syaitan yang jahat. Pada bulan ini terdapatnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang terhalang dari mendapatkan kebaikan malam itu sesungguhnya dia telah terhalang (dari rahmat Allah)”
Bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh dengan keampunan dan rahmat ini, kita hendaklah sentiasa memperbanyakkan amal ibadah dengan mendirikan solat Tarawih berjemaah di masjid atau surau dengan menyempurnakannya 20 rakaat mengikut mazhab Imam al-Syafie. Sesiapa yang uzur boleh menunaikannya secara duduk. Hendaklah diambil perhatian bahawa solat sunat dibenarkan menunaikannya secara duduk tanpa uzur tetapi ganjarannya separuh daripada solat berdiri yang sempurna. Teruskanlah menunaikannya hingga selesai solat bersama Imam dan janganlah tergesa-gesa balik dengan hanya menunaikan solat terawih 8 rakaat sahaja. Semoga ibadah kita pada tahun ini adalah yang terbaik berbanding tahun yang lalu.
Ingatlah, pada bulan Ramadan inilah masanya untuk kita mencari keredaan dan keampunan daripada Allah Subhanahu wa Taala dengan meningkatkan amal soleh kita serta janganlah jemu dan berputus asa melakukan ibadah-ibadah lain seperti memperbanyakkan sedekah khususnya menyediakan jamuan berbuka puasa dan sekurang-kurangnya khatam al-Quran 30 juzuk sepanjang Ramadan.
Hari ini merupakan hari kedua kita menunaikan ibadah puasa. Berpuasalah! dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Taala semata-mata serta mengharapkan keampunan dan keredaan-Nya. Begitu juga, kita mengharapkan agar digandakan pahala, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan hidup kita dijauhi daripada godaan syaitan. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
Yang bermaksud: "Daripada Abu Hurairah Radiyallahu anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda: apabila telah tiba bulan Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta dirantai syaitan- syaitan."
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:
Yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu."
Jadikanlah Ramadan ini sebagai permulaan untuk kita terus beristiqamah mengerjakan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid atau surau sepanjangbulan Ramadan dan terus berkekalan hingga akhir hayat kita. Janganlah kita meremeh-remehkan solat fardu berjemaah kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak solat fardu melainkan secara berjemaah. Jauhkanlah diri kita daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat sama ada yang kecil ataupun yang besar. Semoga puasa kita kali ini mudah-mudahan menjadikan kita termasuk dalam kalangan orang yang bertakwa. Firman Allah Subhanahu wa-Taala dalam surah al-Baqarah ayat 183 :
Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,”
Sumber Khutbah Jumaat yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang 24.03.2023
COMMENTS