Sebelum kita memasuki bulan Ramadan, marilah kita mengulang kaji hukum-hakam berkaitan puasa Ramadan. Bersihkanlah hati daripada segala kekotoran...
Kita kini berada dalam minggu terakhir bulan Syaaban. Beberapa hari lagi kita bakal menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak. Pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dahulu, para sahabat begitu menanti-nantikan kedatangan bulan ini. Apa tidaknya?, Bulan Ramadan itu penuh dengan kelebihan dan keistimewaan yang tiada pada bulan-bulan yang lain.
Maka dengan itu, apakah yang wajar kita lakukan menjelang tibanya Ramadan? Perkara utama yang mesti didahulukan adalah puasa qada iaitu puasa ganti. Ia wajib ditunaikan mengikut jumlah puasa yang ditinggalkan. Sesiapa yang sengaja tanpa uzur tidak menqadhakan puasa yang ditinggalkan sehingga bertemu bulan Ramadan, maka hukumnya adalah berdosa dan wajib menggantikan puasanya itu dan membayar fidyah. Kewajipan melunaskan hutang puasa ini dijelaskan dalam al-Quran. Firman
Allah Subhanahu wa Taala dalam surah al-Baqarah ayat 184:
Yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa (ganti) sebanyak itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak mampu berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (fidyah) lebih daripada yang ditentukan, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (namun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
Sebelum kita memasuki bulan Ramadan, marilah kita mengulang kaji hukum-hakam berkaitan puasa Ramadan. Bersihkanlah hati daripada segala kekotoran seperti hasad dengki, dendam, benci, buruk sangka, marah dan sebagainya.
Satu perkara yang penting juga sebelum kita memasuki bulan Ramadan iaitu memperbanyakkan istighfar dan bertaubat. Inilah masa yang sesuai untuk kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita lakukan sebelum ini. Malah, taubat itu memang sepatutnya kita sentiasa melakukannya, bukannya sekali-sekala apabila kita rasa nak bertaubat. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Yang bermaksud: “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya dalam sehari seratus kali.”
Kita juga dianjurkan untuk menjaga akhlak dan mengawal tingkah laku kita menjelang Ramadan ini. Elakkanlah membuang masa dengan perkara-perkara tidak berfaedah, jangan berkunjung ke tempat-tempat maksiat, jagalah mata daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Ibadah puasa kita nanti turut menuntut kita menjaga tutur kata. Jagalah lidah kita daripada perbuatan mengumpat atau bercakap kotor. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi:
Yang bermaksud: “Puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri daripada perkataan yang melalaikan dan perkataan keji.”
Marilah kita mengubah kebiasaan waktu tidur kita dengan tidur lebih awal setiap malam dan bangun lebih awal iaitu satu pertiga akhir malam. Ini sebagai persediaan membiasakan diri kita untuk bangun sahur. Sebaik-baiknya laksanakanlah solat sunat dahulu atau bacalah al-Quran sementara menanti masuknya waktu Subuh, kemudian hadirlah ke masjid untuk solat Subuh secara berjemaah. Sesuai dengan nama jolokannya ‘Bulan Ibadah’, maka sebelum memasuki bulan Ramadan, lazimkanlah amal ibadah seperti puasa sunat, beriktikaf di masjid, solat tahajud, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.
Sebagai mengakhiri khutbah, Marilah kita semua memperbanyakkan doa semoga dipanjangkan usia kita semua oleh Allah Subhanahu wa Taala dan dikurniakan kesihatan untuk kita bertemu dengan bulan Ramadan pada tahun ini. Semoga kita dapat melaksanakan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dan ibadah-ibadah lain. Marilah kita berdoa seperti sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
Yang bermaksud: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadan.”
Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) “Kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan.”
Sumber Khutbah dari Pejabat Mufti Negeri Pahang : 17/3/2023
COMMENTS