Semasa zaman awal Islam, antara amal yang amat dititikberatkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam ialah penyucian jiwa. Wahyu Makkiyyah...
Kita berada di pertengahan bulan Syaaban. Tidak lama lagi, bulan Ramadan akan menjelma. Sesungguhnya, para salafussoleh akan menjadikan waktu ini sebagai musim untuk mempersiapkan diri dengan amal ibadah. Pada waktu inilah, umat Islam perlu menggandakan usaha menyucikan jiwa daripada kekotoran dosa dan sifat mazmumah. Akhir zaman ini, ruang mendapat dosa begitu mudah berlegar di sekeliling kita. Apatah lagi di saat dunia lebih banyak berkiblatkan hiburan ala barat, dan juga mengutamakan kehidupan berteraskan media sosial, manusia semakin hilang arah.
Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah asShams ayat 7 hingga10:
Yang bermaksud: “Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”
Semasa zaman awal Islam, antara amal yang amat dititikberatkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam ialah penyucian jiwa. Wahyu Makkiyyah banyak mendidik generasi awal agar melazimi solat malam, berzikir dengan zikir yang banyak, dan membaca al-Quran, kerana itulah asas kekuatan ummah. Dengan itu, janganlah kita tinggalkan membaca al-Quran pada setiap hari.
Para sahabat secara berterusan mendirikan solat berjemaah walaupun di saat menerima tekanan oleh musyrikin Makkah. Mereka jugalah yang memakmurkan masjid ketika berada di Madinah. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam membangunkan Madinah bersekali dengan membangunkan jiwa penduduknya, yang akhirnya terbinalah sebuah tamadun yang hebat di dunia. Beginilah contoh kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang patut dicontohi oleh pemimpin hari ini, tidak hanya membina aspek fizikal dan kebendaan tetapi juga membina kekuatan jiwa dan rohani.
Sesungguhnya, hanya kepada Allah Subhanahu wa Taala kita memohon agar jiwa kita sentiasa suci dari dosa. Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah anNisa’ ayat 49:
Yang bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikit pun.”
Atas sebab inilah, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam mengajar kepada para sahabat dan umatnya agar sentiasa bergantung harap dan memohon kepada Allah Subhanahu wa Taala agar membersihkan jiwa. Baginda berdoa:
Yang bermaksud: “Ya Allah, anugerahkanlah ketakwaan kepada jiwaku, sucikanlah ia, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang dapat menyucikannya, Engkaulah yang menguasai dan yang menjaganya.”
Marilah kita bersama-sama menyuburkan sifat mahmudah seperti hormat-menghormati dan saling bermaafan serta menjauhi sifat mazmumah seperti tidak memfitnahkan dan memburukkan sesama umat Islam khususnya dalam berpolitik dalam kehidupan seharian. Jagalah hubungan dengan Allah Subhanahu wa Taala, dan jagalah akhlak sesama manusia. Janganlah dengan sebab perbezaan yang kecil dalam masyarakat, diperbesar-besarkan, hingga menggugat keharmonian dan kesatuan, yang akhirnya mencemarkan imej umat Islam dan merosakkan perpaduan negara, terutamanya apabila kita berada pada bulan Syaaban ini.
Yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.
Sumber Khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang : 10/3/2023
COMMENTS