Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mengangkat sumpah jawatan disaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong...
PEKAN, 28 JANUARI 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pemangku Raja Pahang, YAM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang baru.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan melantik Tengku Panglima Raja, YAM Tengku Amir Nasser Ibrahim Ibni Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim sebagai Timbalan Yang Dipertua Muip baru menggantikan YDH. Datuk Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan.
Kedua-dua anakanda baginda mengangkat sumpah pada majlis yang diadakan sempena Mesyuarat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kali ke-179 hari ini.
Pada majlis berkenaan, empat Ahli Mesyuarat Majlis yang baru dilantik iaitu Prof. Dato' Sri Dr. Zaleha binti Kamarudin, Prof. Dr. Fariza binti Md. Sham, Prof. Madya Dr. Hasan bin Ahmad dan Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah turut mengangkat sumpah.
Ketibaan Yang di-Pertuan Agong disambut Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato' Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman, barisan Exco Kerajaan Negeri, Kerabat Diraja dan pegawai Kerajaan Negeri Pahang.
Al-Sultan Abdullah ketika ditemui bertitah agar barisan pentadbiran baru MUIP yang diterajui anakanda baginda sendiri terus cemerlang dan memberi manfaat kepada golongan memerlukan di negeri ini.
"Saya berharap kepimpinan baru di bawah kedua-dua anakanda saya dapat meneruskan segala landasan yang saya letak bersama barisan ahli majlis.
"Mudah-mudahan dapat membawa MUIP ke satu tahap yang lebih baik dan lebih tinggi. Kita dapat meningkatkan syiar Islam dan membela masyarakat Islam secara keseluruhan, InsyaAllah," titah baginda.
Disediakan oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP).
Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
COMMENTS